Khamis, 28 April 2011

KENAPA PERLU BERSOLAT???

Pengertian Solat, Dalil, Rukum Solat, Syarat Wajib, Syarat Sah, Sunat Ab’adh dan Sunat Hai’ah.
ABSTRAK
Artikel ini membincangkan tentang pengertian solat, dalil, rukun solat, syarat wajib, syarat sah, sunat ab’adh dan sunat hai’ah. Dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t yang di fardhukan ke atas umat Islam melalui junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pada malam isra’ dan mikraj kita perlu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan solat. Artikel ini juga membicangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan solat yang perlu diketahui, ini kerana sebagai umat Muhammad s.a.w kita wajib belajar dan mengetahui semua perkara yang berkaitan dengan solat supaya solat yang kita kerjakan lima waktu sehari semalam diterima dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

PENDAHULUAN

Sesungguhnya solat telah difardhukan kepada semua umat bermula pada zaman Nabi Adam a.s

sehinggalah umat Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat ini dikuatkan dengan Firman Allah Taala di dalam al-Quran ;
“يَامَرْيَمُ اقْنُتِي لِرَّبِكِ واسْجُدِي وَارْكَعِي مَعَ الرَّاكِعِينَ “
Yang bermaksud ; Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) berasama-sama orang-orang yang rukuk.-al-Imran:43.

Ibadat solat telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada nabi Muhammad s.a.w tanpa perantaraan, ini bermakna ibadat solat mempunyai keistimewaan berbanding ibadat-ibadat lain kerana ia diterima secara langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Rabbul Jalil. Manakala ibadat-ibadat lain difardhukan oleh Allah kepada nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril a.s.

PENGERTIAN SOLAT.

PERKATAAN ‘Solat’ dalam Bahasa Arab ialah 'Doa memohon kebajikan dan pujian.' Maka, solat Allah SWT kepada NabiNya ialah pujian Allah SWT kepadaNabiNya. Sebelum Islam, orang Arab menggunakan perkataan solat dengan maksud yang sedemikian dan erti itu terdapat juga pada beberapa tempat di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan bersolatlah (doakanlah) untuk mereka, kerana sesungguhnya solatmu (doamu) itu menjadi ketenteraman bagi mereka." (At-Taubah: 103)

Demikianlah makna ataupun takrif solat dalam pengertian Bahasa Arab sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas.
Takrif Solat Secara Zahir.

Adapun takrif solat yang dikehendaki syarak sebagai nama bagi ibadah yang menjadi tiang agama Islam, para Fuqaha (ahli fekah) telah sepakat menetapkan pengertian ini, iaitu:
"Beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."
Bagaimanapun takrif para Fuqaha ini hanya mengenai "rupa solat” sahaja, tidak merangkumi 'hakikat” dan "roh” solat. Takrif yang diberikan oleh para Fuqaha ialah takrif yang menggambarkan solat yang dapat didengar dan dilihat atau secara ringkas disebut takrif secara zahir. Tidak termasuk di dalam pengertian ini, hakikat dan jiwa solat yang hakiki.


Takrif Solat Secara Batin.

Untuk mengetahui takrif yang menerangkan hakikat solat dan jiwanya atau takrif secara batin, ia ada digambarkan oleh ahli-ahli makrifat iaitu:
"Berhadap hati (jiwa) kepada Allah, secara yang mendatangkan takut kepadaNya serta menumbuhkan di dalam jiwa rasa keagungan, kebesaran dan kesempurnaan kekuasaanNya."

Dengan lain perkataan, ia boleh ditakrifkan begini:
"Hakikat solat ialah "menzahirkan hajat dan keperluan kita kepada Allah yang kita sembah dengan perkataan dan pekerjaan atau dengan kedua-duanya sekali."
Lantaran itu, solat juga diertikan dengan doa kerana ia mengandungi hajat hamba kepada Allah SWT.

Menzahirkan hajat kita kepada Allah SWT sama ada dizahirkan dengan perbuatan mahupun yang kita zahirkan dengan sikap, bererti kita berharap untuk mendapat sesuatu yang kita hajati. Ertinya, kita memohon sesuatu nikmat atau kita mengharap supaya terhindar dari sesuatu kesusahan dan kemelaratan.

DALIL KEWAJIPAN SOLAT
Dalil berkenaan kewajipan solat terdapat di dalam al-Quran, hadis Nabawi syarif dan telah disepakati oleh jumhur ulama tentang kewajipan solat dan ia dikatogerikan sebagai perkara yang diketahui di dalam agama Islam.
Dalil dari al-Quran ;
إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Yang bermaksud ; Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya. –An-Nisa : 103.

Dalil dari Hadis Nabawi Syarif : Sabda nabi s.a.w sewaktu mengutuskan Muadz ke Yaman;
أعْلِمْهُمْ أنَّ الله افترضَ عليهم خمسَ صلواتٍ في كُلِّ يومٍ وليلةٍ
Yang bermaksud ; Khabarkan kepada mereka, bahawa sesungguhnya Allah telah menfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam.

Dalil daripada ijmak ulamak :
فهو معلومٌ بالضَّرورة من الدِّين، ولهذا لم يُنكرْ أحدٌ من أهل القِبلة ـ ممَّن ينتسبون إلى الإسلام ـ فَرْضَهَا؛ حتى أهل البدع يقرُّون بفرضِهَا.

Maksudnya : Perkara ini telah diketahui umum dalam agama Islam, dan ia tidak diingkari oleh ahli kiblah (Umat Islam) tentang kefardhuannya, bahkan ahli bidah (mereka-reka dalam agama) pun mengakui tentang kefardhuannya.

HUKUM SOLAT FARDHU
Berdasarkan dalil-dalil di atas, hukum solat fardhu adalah wajib ke atas setiap umat Islam (Fardhu ain), yang dimaksudkan umat islam di sini ialah mereka yang mengucap dua kalimah syahadat, seperti sabda nabi s.a.w sewaktu mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman :
إنك تأتي قوماً من أهلِ الكتاب، فادْعُهُمْ إلى شهادة أنْ لا إله إلا الله، وأنِّي رسولُ الله، فإن هم أطاعُوا لذلك؛ فأعْلِمْهُم أنَّ الله افترض عليهم خمسَ صلوات
Maksudnya : Engkau akan pergi kepada kaum dari ahli kitab, maka serulah mereka kepada penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku utusan Allah, maka sekiranya mereka mentaati hal yang demikian maka Khabarkan kepada mereka, bahawa sesungguhnya Allah telah menfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam.


RUKUN SOLAT
Rukun Solat adalah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai tiga belas rukun yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu rukun qalbi, fi'li dan qauli.
Tiga belas rukun solat sepertimana di bawah :
1. Niat.
2. Berdiri betul bagi yang mampu.
3. Takbirtul ihram.
4. Membaca surah Fatihah.
5. Rukuk.
6. I’tidal.
7. Sujud.
8. Duduk antara dua sujud.
9. Duduk tahiyat akhir
10. Membaca tahiyat akhir.
11. Selawat kepada nabi dalam tahiyat akhir.
12. Salam.
13. Tertib.
Tiga belas rukun solat ini terbahagi kepada tiga kategori sebagaimana jadual di bawah ;
No. Rukun Kategori No. Rukun Katogeri
1 Niat Qalbi 8 Duduk antara dua sujud Fi’li
2 Berdiri betul Fi’li 9 Bacaan tahiyat akhir Qauli
3 Takbiratul ihram Qauli 10 Duduk Tahiyat akhir Fi’li
4 Membaca al-Fatihah Qauli 11 Selawat ke atas nabi Qauli
5 Rukuk Fi’li 12 Salam Qauli
6 I’tidal Fi’li 13 Tertib Qalbi
7 sujud Fi’li

Maksud tiga katogeri rukun sebagaimana di berikut ;
• Rukun qalbi (ﻗﻠﺒﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻠﺐ - qalb bermaksud hati) adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
• Rukun fi'li (ﻓﻌﻠﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻓﻌﻞ - fi'l bermaksud perlakuan) adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
• Rukun qauli (ﻗﻮﻟﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻮﻝ - qaul bermaksud kata-kata) adalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
Ada pendapat ulamak yang menambah tama’ninah dalam bilangan rukun solat, tama’ninah bermaksud berhenti sekejap selepas melakukan rukun solat (rukun fi’li).

SYARAT WAJIB SOLAT
Syarat wajib solat ada tiga,
Pertama : Islam, solat diwajibkan ke atas umat Islam sahaja, iaitu mereka yang mengucapakan dua kalimah syahadah, bagi orang kafir mereka tidak diwajibkan bersolat disebabkan oleh kekafiran mereka, oleh itu orang kafir yang memeluk islam selepas mereka akhil baligh tidak dituntut untuk mengqadakan solat mereka yang terdahulu.
Kedua : Baligh, baligh adalah diambil dari perkataan arab yang bermaksud sampai, yang dikhendaki dengan sampai di sini ialah sampai umur, tanda-tanda baligh bagi lelaki ialah bermimpi sampai keluar mani ataupun berumur 15 tahun ke atas, bagi perempuan ialah keluar darah haid.
Ketiga : Berakal, berakal juga diambil dari perkataan arab yang bermaksud berfikiran, bagi mereka yang tidak siuman (gila) tidak diwajibkan solat ke atas mereka walaupun mereka Islam dan Baligh.
Setelah ketiga-tiga rukun ini dipenuhi, barulah mereka diwajibkan menunaikan solat, namun begitu adalah digalakkan untuk mengajar kanak-kanak yang belum sampai umur bersolat seperti yang dianjurkan oleh nabi s.a.w.

SYARAT SAH SOLAT
Solat mempunyai syarat-syarat tertentu untuk menjadikan ia sah dan diterima oleh Allah s.w.t. Syarat sah solat ada lima.
Pertama : Suci dari dua hadas, iaitu hadas kecil dan hadas besar.
Kedua : Suci dari najis, ia meliputi suci tubuh badan, pakaian dan tempat solat, sekiranya salah satu dari tiga perkara tersebut tidak suci dari najis maka solat itu tidak diterima.
Ketiga : Menutup aurat, aurat bagi lelaki ialah antara lutut dan pusat dan aurat bagi perempuan ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Keempat : Mengadap kiblat, kiblat bagi umat islam seluruh dunia ialah Kaabah yang terletak di Makkatul Mukarramah.
Kelima : Yakin masuk waktu solat, bermaksud seseorang yang mahu mengerjakan solat wajib mengetahui bahawa waktu solat yang ingin dikerjakan itu telah masuk dengan rasa yakin, sekiranya ragu-ragu atau was-was masuk waktu solat maka solat tersebut tidak sah.
SUNAT YANG TERDAPAT DALAM IBADAH SOLAT
Diantara perkara sunat yang terdapat dalam ibadat solat ialah Sunat Ab’adh (ابعاض) dan sunat Hai’ah (هيئه).
Sunat Ab’adh (ابعاض).
Maksud sunat Ab’adh ialah perkara yang boleh digantikan dengan sujud sahwi (سهوى) sekiranya tertinggal untuk melakukannya semasa solat, sunat ab’adh ini terdapat dalam solat fardhu dan solat sunat. Sunat Ab’adh ada tujuh.
Pertama : Tassyahhud Awal.
Kedua : Duduk Tassyahhud Awal.
Ketiga : Membaca Qunut.
Keempat : Berdiri semasa membaca qunut.
Kelima : Membaca salawat ke atas Nabi s.a.w selepas membaca qunut.
Keenam : Selawat ke atas keluarga Nabi Muhammad s.a.w selepas tassyahhud akhir.
Ketujuh : Selawat ke atas keluarga Nabi Muhammad s.a.w selepas membaca qunut.
Perkara yang disebut di atas adalah merupakan sunat ab’adh, sekiranya tertinggal salah satu atau lebih dari satu maka sunat digantikannya dengan sujud sahwi.
Sujud Sahwi(سهوى)
Sujud sahwi dilakukan sekiranya terlupa untuk melakukan sunat ab’adh, waktu untuk melakukan sujud sahwi ialah sebelum salam, sesudah membaca selawat dan doa tassyahhud, bilangan sujud sahwi ialah dua kali sujud, bacaan dalam sujud sahwi seperti berikut ;
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْحُوْ
Yang bermaksud: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.

Sunat Hai’ah (هيئه)
Peluang untuk memperolehi pahala sembahyang yang sempurna boleh diraih dengan melaksanakan perkara-perkara yang sunat dalam sembahyang, selain sunat ab’adh, terdapat juga sunat yang dinamakan dengan sunat hai’ah. Berbeza dengan sunat ab’adh, sunat hai’ah ini tidak perlu digantikan dengan sujud sahwi jika ditinggalkan secara sengaja atau terlupa. Namun jika ditinggalkan, seseorang itu akan mengalami kerugian kerana tidak mendapat pahala sunat dan hikmah yang terkandung di dalamnya.
Sunat hai’ah amat banyak, diantara yang disebut di dalam kitab Munyatu Musolli (منية مصلى) sebagaimana berikut :
Pertama : Mengangkat kedua tangan ketika Takbiratul-Ihram,ketika rukuk,ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. Cara mengangkat tangan ialah berbetulan tapak tangan dengan bahu, hujung anak jari dengan cuping telinga yang di atas dan dua ibu jari dengan cuping telinga. Kemudian diletakkan kedua tangan ke bawah dada, kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri dengan cara tangan kanan menggengam pergelangan tangan kiri. Kesudahan meletakkan tangan dengan kesudahan melafazkan takbiratul-ihram mestilah serentak, pendapat ini telah disepakati dalam kitab Syarah Muhazzab dan kitab Syarah Wasith.
Kedua : Membaca doa Iftitah selepas daripada takbiratul-ihram. Sekurang-kurang bacaan doa iftitah adalah seperti berikut ;
الله اكبر كبيرا, والحمدلله كثيرا , وسبحان الله بكرة واصيلا
Dan yang sempurna untuk bacaan doa iftitah adalah ditambah dengan membaca
وجهت وجهي للذي فطر السماوات والارض حنيفا مسلما وما انا من المشركين , ان صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين , لا شريك له وبذالك امرت وانا من المسلمين .
Ketiga : Membaca Ta’awudz pada setiap rakaat, lafaz ta’awudz ialah ;
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Keempat : Mengucapkan Amiin (آمين) selepas daripada membaca surah al-Fatihah. Ucapan amiin dinyaringkan pada solat Subuh,Maghrib dan Isyak, manakala pada solat Zohor dan Asar ia diucapkan dengan kadar perlahan. Sunat bagi makmum mengucapkan amiin bersama-sama dengan imam, dan sunat berhenti sebentar antara bacaan Fatihah dan ucapan amiin, demikian juga sunat berhenti sebentar antara ucapan amiin dan bacaan surah yang kedua.
Kelima : Membaca surah yang panjang pada solat subuh dan dua rakaat awal solat zohor, membaca surah yang sederhana panjang pada dua rakaat pertama solat asar dan isyak, dan membaca surah pendek pada dua rakaat pertama solat maghrib. Pada solat subuh hari jumaat disunatkan membaca surah Sajdah pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat kedua.
Keenam : Mengucapkan Takbir al-Intiqalaat (perpindahan satu rukun ke satu rukun yang lain) pada lima tempat, iaitu ;
1. Takbir rukuk.
2. Takbir turun kepada sujud.
3. Takbir bangkit daripada sujud.
4. Takbir sujud yang kedua.
5. Takbir bangkit daripada sujud yang kedua kepada qiam.
Dan sunat mengangkatkan kedua tangan seperti takbiratul-ihram pada tiga tempat, iaitu;
1. Ketika hendak rukuk.
2. Ketika bangkit daripada rukuk kepada iktidal, diangkatkan tangan bersama dengan angkat kepala.
3. Ketika bangkit daripada tasyahhud awal kepada qiam.
Ketujuh : Mengucapkan tasbih ketika rukuk dan sujud, lafaz tasbih ketika rukuk ialah;
سبحان ربي العظيم وبحمده
Manakala ucapan tasbih ketika rukuk ialah;
سبحان ربي الأعلى وبحمده

Kelapan : Mengucapkan سمع الله لمن حمده ketika bangkit daripada rukuk, dan apabila telah berdiri tegak maka sunat mengucapkan;
ربنا لك الحمد ملء السموات وملء الارض وملء شئت من شيء بعد
Kesembilan : Membaca doa qunut pada rakaat kedua solat subuh, pada solat witir separuh yang kedua bulan ramadhan dan pada setiap solat jika kedatangan bala atau bencana.
Kesepuluh : Bacaan duduk antara dua sujud, lafaz bacaannya adalah seperti berikut;
رب اغفرلي وارحمني واجبرني وارزقني واهدني وعافني واعف عني
Kesebelas : Membaca doa selepas daripada tasyahhud dan selawat pada tasyahhud akhir, lafaz doa tersebut ialah;
اللهم اغفرلي ما قدمت وما أخرت وما اسررت وما أعلنت وما أسرفت وما انت أعلم به مني, انت المقدم وانت المؤخر, لا اله الا انت, اللهم اني أعوذبك من عذاب القبر وفتنة المحيا والممات, ومن فتنة المسيح الدجال, يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
Kedua belas : Duduk tawarruk pada tasyahhud akhir, cara duduk tawarruk ialah duduk atas dua punggung dan keluarkan kaki kiri di bawah betis kanan.
Ketiga belas : Duduk istirahah iftirash (استراحة افتراش) pada tasyahhud awal dan duduk antara dua sujud, caranya ialah duduk atas tapak kaki kiri dan mendirikan kaki kanan.
Keempat belas : Meletakkan tangan kanan pada lutut kanan dan tangan kiri pada lutut kiri semasa tasyahhud awal dan akhir, tangan kanan digenggamkan dan dilepaskan jari telunjuk serta diletakkan ibu jari dibawah jari telunjuk. Dan sunat menggangkat jari telunjuk ketika menyebut اشهد ان لا اله الا الله tetapi makruh menggerak-gerakan jari telunjuk.
Kelima belas : Melihat pada tempat sujud dan mengekalkan khusyuk dari awal solat hingga akhir solat.
Keenam belas : Mengosongkan hati dari mengingati perkara yang lain dari solat ketika melakukan solat, dan mestilah tekun dalam menyempurnakan ibadah solat.
Kesemua 16 sunat Hai’ah di atas sepertimana yang disebut dalam kitab Muniyatul Musolli karangan As-Syeikh Allamah Daud bin Abdullah al-Fattoni.

FADHILAT SOLAT BERJEMAAH
عن ابن عمر رضي الله عنهما قال , قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفدِّ بسبع وعشرين درجة
رواه البخارى ومسلم
Maksudnya : Daripada Ibnu Umar r.a. Rasullah s.a.w bersabda : “ Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda”. Hadis riwayat daripada Bukhari dan Muslim.
PENGERTIAN SOLAT JEMAAH
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai sekurang-kurang bilangannya 2 orang kecuali solat fardhu Jumaat, 2 orang tersebut termasuk seorang imam dan seorang makmum, semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu :
1. Fardhu ain pada solat Jumaat.
2. Fardhu kifayah pada solat fardhu lima waktu.
3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan gerhana matahari, solat minta hujan, solat terawikh dan solat witir pada bulan Ramadhan.
TUNTUTAN BERJEMAAH PADA SOLAT FARDHU
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu selain fardhu Jumaat pada pendapat yang masyhur dan paling betul menurut imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian yang menutup aurat serta tidak mempunyai keuzuran syarie.
Jadi apabila sesebuah kampong yang mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti masjid, surau dan sebagainya maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung yang tidak hadir solat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah dalam sebuah kampung maka semua penduduk kampung akan berdosa
Dalil tentang pentingnya solat berjemaah ada terdapat dalam Hadis Nabi s.a.w. Antaranya ialah sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasullah s.a.w pernah mengamcam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya ada seorang lelaki yang buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumah. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudian Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa orang buta tersebut dapat mendengar seruan azan yang dilaungkan di masjid.
PENUTUP
قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : الصلاة عماد الدين , من اقامها فقد اقام الدين , ومن تركها فقد هدم الدين
Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud ; Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka ia telah mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkan solat maka ia telah meruntuhkan agama.
Ibadat solat adalah rukun kedua di dalam rukun Islam selepas daripada mengucap dua kalimah syahadah, dan ia merupakan tiang agama sepertimana yang disebut dalam hadis di atas. Orang mukmin perlu mempelajari dan mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan solat seperti dalil kewajipan solat, hukum, syarat wajib, syarat sah dan sunat-sunat yang terdapat di dalamnya supaya solat yang mereka kerjakan akan sempurna seterusnya diterima oleh Allah s.w.t. Ini kerana orang yang melakukan solat tanpa ilmu nescaya solat mereka tidak akan diterima dan perbuatan solat mereka akan menjadi sia-sia.
Islam adalah agama yang senang untuk diamalkan oleh penganutnya, semua ibadat dalam Islam tidak membebankan pemeluknya untuk melaksanakannya, termasuklah ibadat solat lima waktu sehari semalam. Setiap umat Islam hendaklah memberi komitmen untuk melaksanakan ibadat solat yang telah difardhukan ini, dengan bersolat insyaAllah akan dapat melahirkan generasi umat Islam yang mampu mendepani cabaran yang amat hebat di alaf yang serba mencabar ini dan seterusnya akan menyelamatkan kita dari azab di akhirat kelak.

Readmore »»

Selasa, 11 Januari 2011

SEJARAH YANG DIPESONGKAN KUFFAR!!!!

Readmore »»